Mari kita manfaatkan kesempatan ini untuk mengenal lebih jauh tokoh ibu, sang pendidik pahlawan yang menjadi sendi penting dalam ketokohan Sayyid Qutb. Bonda Sayyid Qutb berasal dari sebuah keluarga yang mulia. Ia menikah dengan Qutb Ibrahim, ayahanda Sayyid Qutb sebagai isteri kedua, dan tinggal bersama-sama Qutb Ibrahim di Cairo. Bonda Sayyid Qutb mempunyai empat orang anak. Sayyid Qutb dibesarkan oleh ibu yang memiliki kesempurnaan sifat sebagai seorang wanita solehah dan berjiwa kuat. Ia seorang pemurah dan dikenal banyak bersedekah. Ia juga gemar memasak makanan untuk pekerjanya di ladang serta untuk para tetamu yang datang mengaji di rumahnya. Bunda Sayyid Qutb tidak pernah mengangap semua ini sebagai beban kerana ia menjadikan amal tersebut sebagai bahagian dari upayanya mendekatkan dirinya kepada Allah swt. Amal seperti ini memang sudah menjadi tradisi isteri yang mendampingi para juru dakwah di rumah yang kerap digunakan untuk dakwah islam.
Bonda Sayyid Qutb juga gemar mendengar bacaan Al-Quran, malah beliau dikenal mudah terpengaruh dan terkesan dengan ayat-ayat yang dibacakan. Hal ini dijelaskan oleh Sayyid Qutb di dalam bukunya At-Taswiir Al-Fanni Fi Al-qur’aan: “setiap kali engkau asyik mendengar tilawah Al-Quran dari belakang tabir pleh para qurra yang datang mengaji ke rumah kita disepanjang bulan Ramadhan, seandainya aku ingin bermain-main seperti kanak-kanak lain, engkau akan mengisyaratkan kepada aku dengan tegas sehingga aku terdiam dan turut menyertaimu mendengar bacaan Al-Quran. Dari situlah jiwaku mula meneguk irama Al-Quran walaupun dengan usiaku yang masih kecil, belum mampu memahami bacaan itu…”
“ketika aku besar dalam penjagaanmu, aku telah dihantar ke madrasah AWWALIYYAH di kampung. Harapan terbesarmu kepadaku adalah supaya Allah membukakan jalan kemudahan untuk aku menghafal al-Quran dan direzekikan kepadaku suara yang lunak untuk membacakan Al-Quran bagimu.. kini engkau telah pergi meninggalkan aku, wahai bonda tersayang. Gambaran terakhir dirimu yang sentiasa segar di ingatanku adalah samar-samar dirimu yang sering duduk dihadapan radio, mendengar keindahan bacan-bacaan Al-Quran. Amat jelas lekuk-lekuk wajahmu yang mulia, tanda-tanda mendalamnya penghayatanmu terhadap makna yang tersurat lagi tersirat kalimah Al-quran itu, dengan hatimu yang agung dan perasaan halusmu yang merenung.” (at-Taswir Al-Fanni fi Al-Quran, Dar Ash-shurooq).
Sayyid adalah anak sulung lelaki di samping saudara-saudaranya yang lain iaitu, Aminah, Hamidah dan Muhammad. Bonda Sayyid Qutb, wanita berjiwa besar ini telah membesarkan anaknya, Sayyid dengan sepenuh hati. Pada “Sayyid” lah beliau letakkan segala kemuliaan dan latihan memikul tanggungjawab. Malah bonda Sayyid Qutb ingin anaknya ini menjadi dewasa lebih awal dari biasanya. Sayyid sering ditiupkan jiwa kedewasaan sehingga ia acapkali menjauhkan dirinya dari suasana anak-anak yang sibuk dengan zaman anak-anak.
Sesungguhnya bonda Sayyid Qutb telah menggabungkan dua unsur penting yang membina keperibadian mujahid dan mujaddid ini. Beliau limpahkan sepenuh rasa kasih sayang dan kemanjaan seorang ibu kepada anak,kasih sayang yang disirami dengan keakraban Al-Quran. Kasih sayang itu bukanlah kemanjaan yang membinasakan proses pembinaan jati diri anaknya, didalam kemanjaan itu, bunda Sayyid Qutb membina keyakinan diri yang tinggi di dalam diri anaknya supaya membesar sebagai seorang yang berjiwa tinggi.
Bonda Sayyid Qutb kembali ke rahmatullah pada tahun 1940. Kematiannya memberikan kesan yang amat besar kepada Sayyid Qutb. Ia sangat ingat nasihat ibunyasebagaimana yang di tulis Sayyid:
“bonda….
“siapakah selepas ini yang akan menceritakan kisah zaman kanak-kanakku, seakan-akan ia suatu peristiwa yang baru semalam terjadi… siapakah lagi yang akan membayangkan kepada aku zaman muda untuk dibawa kembali bayangannya kepada kehidupan dan kepada alam wujud ini selanjutnya.”
“engkau telah memberi gambaran terhadapku bahawa diriku adalah insan yang istimewa semenjak aku masih dalam buaian kehidupan. Engkau sering ceritakan kepadaku tentang impianmu yang lahir, yang merangkak-rangkak terserap ke dalam jati diriku bahawa aku seorang yang mulia. Ia telah menjelaskan padaku satu tanggungjawab yang besar dan semua ini adalah dari impianmu terhadapku dan “wahyu” bisikan hatimu. Siapakah nanti yang akan membisikkan kepadaku khayalan-khayalan yang membara itu? Siapakah lagi yang akan meniupkan dorongan ke dalam hatiku?.”
Benarlah kata pepatah: “tangan yang mengayun buaian itu bisa mengguncangkan dunia” sentuhan tarbiyah tangan seorang ibu telah melahirkan seorang mujahid seperti Sayyid Qutb, yang limpahan hikmahnya terus mengalir deras ke jiwa pejuang Islam, di sepanjang zaman.
Ditengah arus zaman seperti sekarang, di antara kian kerasnya tentangan dakwah yang kita hadapi saat ini, sirah perjalanan Sayyid Qutb semoga memunculkan kesedaran dan kerendahan hati kita untuk benar-benar membentangi keluarga. Kelak, anak-anak kita akan hidup di zaman yang tentangan hidupnya berlipat-lipat dari apa yang kita lalui hari ini. Anak-anak kita, adalah bukan anak kita saja, tetapi anak zamannya. Wallahu’alam.
Label: artikel
Catat Ulasan
<< Hadapan