PUTRAJAYA 6 Mac – Peserta Kemboja, Novavy Sles (Nawawi Salleh) muncul juara kategori antarabangsa Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri (PABM 2009) di sini malam ini. Beliau Juga merupakan bekas pelajar di sini (Maahad Darul Anuar) dan memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden BALADI 2008.
Naib juara dimenangi peserta Australia, Ayleen O‘Hanlon manakala Shavira Alaydrus dari Belanda menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori Nusantara, peserta Malaysia, Mohd. Syamsul Salleh diumumkan juara diikuti Margaretha Chrisnasari (Indonesia) dan Kamarudzaman Abdul Jalil (Brunei).
Juara bagi kedua-dua kategori membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan wang tunai AS$3,000 (RM10,983).
Naib juara pula menerima piala iringan dan AS$2,000 (RM7,322).
Tempat ketiga memperoleh piala iringan dan AS$1,000 (RM3,661).
Hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Seramai lima peserta bagi kategori antarabangsa dan tiga untuk kategori nusantara berentap di peringkat akhir PABM yang disiarkan secara langsung oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan Internet.
Peserta bagi kategori antarabangsa mewakili Australia, Kemboja, China, Rusia dan Belanda manakala kategori Nusantara pula adalah Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Pertandingan yang bermula 1 Mac lalu itu berjaya menampilkan seramai 44 peserta iaitu 34 bagi kategori Antarabangsa dan 10 untuk kategori Nusantara.
Sedikit temubual dengan mantan timbalan presiden kami.
Juara PABM janji sebar bahasa Melayu di Kemboja
KUALA LUMPUR 8 Mac - Juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri (PABM 2009) bagi kategori antarabangsa, Novavy Sleh, mahu memperkembangkan bahasa Melayu di negara asalnya,
Kemboja.
Menurut pemuda berusia 18 tahun itu, beliau juga akan mendidik generasi muda di Kemboja mencintai bahasa Melayu.
Jelasnya, walaupun bukan bahasa utama di Kemboja, penguasaan bahasa Melayu boleh memberi manfaat kepada individu berkenaan dan memudahkan mereka jika ke negara yang menggunakan bahasa itu.
"Ayah saya bertugas sebagai guru agama di sekolah menengah di Kemboja, jadi saya akan mencadangkan kepadanya supaya mewujudkan kelas khas bahasa Melayu.
"Sehubungan itu pelajar akan didedahkan dengan bahasa Melayu secara lebih terperinci sejak di bangku sekolah lagi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis makan tengah hari di sini semalam.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran bagi meraikan semua 46 peserta yang terlibat dalam pertandingan itu.
Novavy, pelajar Pusat Islam Kemboja itu berkata, beliau mengagumi bahasa Melayu kerana ia amat indah dan berseni.
"Bahasa Melayu mempunyai keistimewaannya tersendiri sehingga digunakan secara meluas di seluruh dunia jadi ia harus diketahui setiap individu," katanya.
Mengenai kemenangannya dalam PABM 2009, Novavy berkata, beliau amat gembira kerana menjadi juara walaupun pertama kali menyertainya.
Pada acara akhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam, beliau menarik perhatian juri dengan persembahan konsisten dan gaya bersahaja ketika berpidato mengenai tajuk Malaysia Gemilang di Persada Antarabangsa.
"Sejak 2004, saya mula mempelajari bahasa Melayu ketika mengikuti kelas bahasa Jawi dan melalui pembacaan," tambahnya.
Menurutnya, sepanjang berlatih, beliau menghadapi kesukaran menyebut huruf 'V' namun tetap berusaha berlatih sehingga lancar.
Sebelum ini, katanya, dia pernah menyertai dan menjadi johan beberapa pertandingan seumpama itu di negaranya termasuk johan syarahan bahasa Arab namun kemenangan di PABM 2009 adalah penghargaan yang besar buat dirinya.
Sedikit kenangan bersamanya (nawawi) di mada dan baladi...
Label: alumni
Catat Ulasan
<< Hadapan