Amin 3 angkat martabat penulis Islam
Oleh Haslina Hassan
Sebanyak 34 kategori dipertanding pada Anugerah Media Islam diumumkan hari ini
PENERIMA Anugerah Media Islam Negara kali ketiga (Amin 3) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal diumumkan pada majlis yang akan diadakan esok bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Setiausaha Jawatankuasa Induk Amin 3, Mohamad Saari, berkata sebanyak 34 anugerah dipertanding kali ini berbanding 21 tahun lalu bagi menghargai serta mengiktiraf pengamal media dan penulisan berunsur Islam pada peringkat nasional.
Katanya, penambahan jumlah kategori dipertandingkan berikutan pecahan dibuat untuk penulis dan penerbit buku terbaik, penulisan buku umum dan buku ilmiah serta penulisan rencana umum dan rencana berbentuk ilmiah.
"Jika dulu hanya penulis yang dihargai dan diiktiraf, kali ini hakim buat keputusan untuk menghargai serta mengiktiraf sumbangan penerbit, begitu juga dalam penulisan rencana dipecahkan kepada rencana umum dan ilmiah.
"Penganjur juga memperkenalkan anugerah baru iaitu Anugerah Khas Juri yang dipilih daripada kalangan calon yang tidak terpilih sebagai pemenang kategori tetapi dirasakan patut diberi anugerah kerana memiliki kriteria tertentu," katanya.
Beliau berkata, selain Anugerah Khas Juri, Amin 3 menyediakan enam kategori utama iaitu Anugerah Penerbitan TV, Anugerah Penerbitan Radio, Anugerah Penerbitan Media Cetak, Anugerah Penerbitan Drama, Anugerah Laman Web serta Anugerah Perdana Media Islam Negara.
Mohamad berkata, anugerah kali ketiga anjuran Jakim ini menerima penyertaan memberangsangkan iaitu 665 penyertaan daripada pengamal media dan orang awam berbanding 200 penyertaan diterima tahun sebelumnya.
Penerima Anugerah Perdana Media Islam Negara yang diberikan kepada tokoh banyak memberi sumbangan dalam media khususnya mengenai perkembangan dan dunia Islam akan menerima trofi, wang tunai RM10,000, satu set Kitab Fi Zilal al-Quran 17 jilid berharga RM3,000 dan sijil.
Pemenang kategori lain masing-masing akan menerima trofi, wang tunai RM2,000, satu set Kitab Fi Zilal al-Quran dan sijil. Pemenang Anugerah Khas Juri bakal menerima trofi dan sijil.
Penilaian dan pemilihan pemenang dilakukan 22 panel hakim yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dipengerusikan Prof Emiritus Datuk Nik Safiah Nik Abdul Karim.
Amin 3 akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.
Majlis itu turut diserikan persembahan artis antaranya Nora, Aisyah, Wada, kumpulan nasyid Far East dan persembahan qasidah bekas johan qari Tilawah al-Quran Pahang, Datuk Faizol Ghazali, Badlishah Alauddin (penceramah agama di Jabatan Agama Islam Pahang) dan Zamri Mohd Zainuddin (pengacara Mari Mengaji TV9).
Berita Harian dipilih penerima anugerah Penerbit Akhbar Terbaik untuk tahun pertama dan kedua berturut-turut. Kemenangan itu mengiktiraf sumbangan Berita Harian yang menyediakan dua halaman setiap hari bagi menyiarkan isu semasa mengenai Islam.
Berikutan pemilihan itu, Berita Harian menerima hadiah wang tunai RM2,000, trofi, sijil penghargaan dan set kitab tafsir terjemahan Fi Zilal al-Quran.
Kemuncak acara malam itu ialah pengumuman hadiah pengunjung bertuah yang menawarkan hadiah menarik. Malam anugerah Amin 3 disiarkan secara langsung melalui RTM1.
sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20091006003838/Article/
Label: baladi
Catat Ulasan
<< Hadapan