"Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Makkah), dan masjid Rasulullah (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Baitulmaqdis)." (Hadis riwayat Bukhari).
Umat Islam yang ingin berziarah ke luar negara untuk beribadat kepada Allah tidak perlu bersusah payah ke tempat lain, selain berziarah ke Tanah Suci, terutama untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah.
Antara fadilatnya adalah:
Kelebihan Masjidil Haram adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 100,000 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain.
Dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.
Kelebihan Masjid Nabawi pula adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 1,000 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. Dalamnya ada makam Nabi dan sebagai sebuah taman daripada taman syurga.
Kelebihan Masjid al-Aqsa pula adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 500 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain.
Keistimewaannya adalah ia masjid Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya.
Nabi menggalakkan umat Islam untuk menziarahi ketiga-tiga masjid yang bersejarah iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.
Di samping itu, Baginda menggalakkan umat Islam sama ada yang menetap di Makkah dan Madinah atau yang datang dari seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah, mengerjakan sembahyang sebanyak-banyak yang dapat di kedua-dua masjid mulia itu bagi mendapat pahala berganda.
Dalam sebuah hadis lagi ada menerangkan secara khusus kelebihan orang yang mengerjakan sembahyang di masjid Nabi sebanyak 40 waktu berturut-turut.
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa sembahyang di masjidku sebanyak 40 sembahyang (dengan syarat) tidak ketinggalan dalam satu sembahyang (waktu) pun, nescaya akan ditulis baginya kelepasan daripada api neraka, dan kelepasan daripada azab seksa dan (ia juga akan bersih) daripada sifat munafik."
Selain itu, Nabi Muhammad mengakui bahawa Masjid Quba' adalah sebuah masjid yang dikasihinya. Baginda kerap menziarahi serta sembahyang dalamnya.
Abdullah bin Omar meriwayatkan adalah Nabi selalu berziarah ke Masjid Quba'. Satu riwayat lagi menyatakan Rasulullah berziarah ke Masjid Quba' setiap Sabtu, kadang-kadang menunggang unta dan berjalan kaki serta menunaikan sembahyang sunat dua rakaat dalamnya.
Usaid bin Zahir pula meriwayatkan sebuah hadis bermaksud: "Satu sembahyang dalam Masjid Quba' diberi pahala seperti menunaikan satu ibadat umrah."
Label: artikel
Catat Ulasan
<< Hadapan